Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan berangkat menghadiri Majlis Pengurniaan 'National Gold Medal'.
Berangkat mengiringi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ialah paduka anakanda baginda, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Mateen.
Semasa majlis tersebut, Presiden Laos, Tuan Yang Terutama Thongloun Sisoulith telah menganugerahkan 'National Gold Medal' ke hadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, yang mana anugerah ini merupakan anugerah tertinggi yang diberikan kepada para pemimpin bagi mengiktiraf sumbangan dan dedikasi Kebawah Duli Yang Maha Mulia terhadap pengukuhan hubungan dua hala antara Negara Brunei Darussalam (NBD) dan Laos sepanjang 30 tahun ini.
Ini diikuti dengan titah Kebawah DYMM, di mana baginda menzahirkan penghargaan atas penganugerahan anugerah berprestij 'National Gold Medal'.
Baginda bertitah mengesahkan kembali bahawa sepanjang 30 tahun ikatan persahabatan, NBD menghargai hubungan akrab dan mesra bersama Laos.
Kebawah DYMM mengimbas kembali Lawatan Negara, Tuan Yang Terutama Presiden Thongloun Sisoulith ke NBD pada tahun lepas, yang mencerminkan komitmen bersama oleh kedua-dua belah pihak yang menjadi asas penting kepada penubuhan Perkongsian Strategik yang baru saja dimeterai.
Kedua-dua belah pihak, tambah baginda, telah bekerjasama rapat dalam hal ehwal serantau dan antarabangsa termasuk ASEAN, dalam sama-sama berkongsi pendirian bagi isu-isu yang menjadi perhatian bersama.
Ke arah ini, NBD memberi sokongan penuh kepada Laos selaku Pengerusi ASEAN pada tahun depan.
Sementara itu, Presiden Laos mengongsikan bahawa 'National Gold Medal' dianugerahkan kepada ketua-ketua kerajaan dan pemimpin yang mempunyai sumbangan cemerlang dalam membangunkan hubungan bersama Laos.
Tuan Yang Terutama sangat menghargai sumbangan Kebawah DYMM dalam mengukuhkan kerjasama yang bernilai antara kedua-dua buah negara sepanjang 30 tahun ini.
Sumber berita Pelita Brunei